Pendahuluan

Pendahuluan


Tulisan Jawi adalah simbol dan warisan kebudayaan bangsa Melayu yang telah dipraktikkan sejak awal kurun ke-13 Masihi di Tanah Melayu2. Perkara ini dibuktikan dengan kewujudan serta penemuan Batu Bersurat serta manuskrip-manuskrip Melayu purba3. Tulisan Jawi lebih banyak dikaitkan dengan agama Islam kerana hampir keseluruhan huruf-huruf yang digunakan diambil daripada tulisan Arab yang merupakan bahasa kepada kitab suci al-Quran al-Karim. Menurut pengkaji tulisan Jawi, penciptaan tulisan Jawi berlaku dalam tradisi bahasa Melayu dalam wilayah budaya Melayu. Oleh itu ia memberi kesan yang amat besar kepada bahasa Melayu, bangsa Melayu malah kepada alam Melayu keseluruhannya. Hassan Ahmad menjelaskan seperti berikut:

“Tulisan Jawi dicipta oleh orang Melayu berdasarkan abjad Arab pada abad itu mengandungi hikmah yang luar biasa: dengan tulisan itulah bermulanya sejarah tamadun persuratan yang cukup meriah dirantau ini.”

Penciptaan sistem tulisan Jawi terbentuk oleh kesepaduan rangkaian :

  1. a) Aksara Arab, bahasa Arab dan bangsa Arab. Ini kerana aksara Jawi hasil penyerapan langsung daripada aksara Arab;

  2. b) Bahasa Melayu dan bangsa Melayu, ini terjadi kerana tulisan Jawi dicipta oleh orang Melayu dalam tradisi bahasa Melayu. Pada masa yang sama orang Melayu juga menuturkan bahasa Melayu dan menggunakan tulisan Jawi sebagai alat berhubung di kalangan mereka, dan;

  3. c) Agama Islam, ini terjadi kerana sistem tulisan Jawi menjadi media penyebaran Islam seterusnya mendominasi tradisi keilmuan Islam. Bukan itu sahaja bahkan tulisan Jawi adalah asas untuk mempelajari dan membaca Al-Quran untuk kepentingan ibadah dalam Islam.