Peranan

Peranan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu


Peranan tulisan Jawi amat luas dari pelbagai sudut. Dari segi agama terdapat banyak kitab-kitab dan penulisan bukan sahaja dalam Bahasa Arab yang memerlukan pengenalan kepada huruf Jawi tetapi juga terjemahan dan penulisan-penulisan ulama di zaman silam khususnya di Nusantara seperti di Tanah Sumatera, Semenanjung dan Selatan Thailand seperti Pattani. Bahkan tanpa pengenalan kepada huruf Jawi (lebih khusus tulisan Arab) maka tidak mungkin dapat seseorang membaca teks Al-Quran dan kitab-kitab bahasa Arab dan Kitab Agama Melayu lama atau baharu.

Selanjutnya untuk membaca kitab-kitab lama seperti kitab turath, ia juga memerlukan kemahiran dalam kaedah ejaan dan jalan bahasa lama. Dengan demikian kita akan kehilangan salah satu sumber ilmu terdapat tidak kurang manuskrip dan penulisan Melayu lama dalam dan luar negeri dalam pelbagai bidang dan ilmu kemahiran dan sejarah hingga ke cerita-cerita hikayat, dokumen surat-menyurat rasmi dalam penulisan lama ditulis dalam skrip Jawi. Tanpa kemahiran membaca Jawi akan menyebabkan khazanah ilmu ini hilang dalam kajian.

Akibatnya banyak sekali yang akan menjejas kesinambungan peradaban dan seni budaya, jati diri dan identiti bangsa dan apa sahaja yang terkarang dalam isi penulisan tersebut.

Tulisan Jawi juga berkaitan dengan seni penulisan itu sendiri seperti pelbagai jenis khat dengan kaedah masing-masing. Ini merupakan kemahiran tambahan namun ia sangat berguna. Tulisan khat Jawi/Arab diperlukan dalam pelbagai bidang, seperti penerbitan teks bacaan, khutbah, tulisan khat pada bangunan, pusara, ayat-ayat di masjidsurau dan madrasah, astaka, bahkan juga penulisan ayat-ayat Al-Quran sama ada mushaf ataupun kumpulna surah-surah, wirid dan risalah. Ini semua memerlukan orang yang mahir menulis Jawi bahkan dengan gaya khat tertentu beserta keupayaan kreatif seninya.

Dalam istiadat diraja umpamanya tulisan Jawi masih merupakan skrip utama, surat-surat pelantikan pembesar tradisional, anugerah gelaran, pelantikan hakim-hakim syarie, wali hakim, pegawai-pegawai masjid; surat warkah pinang-meminang dan nikah kahwin dikalangan putera-puteri Raja Pemerintah, antara Raja dengan raja adalah menggunakan dokumen yang ditulis dalam skrip Jawi.

Kekuatan skrip Arab atau jawi ialah ia tidak dapat digantikan dengan skrip lain dengan bunyi yang tepat khususnya bagi istilah-istilah Arab serta bacaan ayat-ayat Al-Quran. Dengan itu, untuk sebutan dengan memberi makna yang tepat khususnya bagi istilah-istilah Arab serta bacaan ayat-ayat Al-Quran ia tidak dapat dipisah daripada skrip Jawi (sepert “nikmat” dan “ni’mat” yang memberi erti yang bertentangan).

Kehilangan dan kekurangan populariti skrip Jawi juga menyebabkan kurang minat atau perhatian terhadap media cetak Jawi lantaran umpamanya melenyapkan Utusan Melayu atau beberapa majalah Melayu dari semasa ke semasa justeru mengurangkan satu lagi saluran media dalam masyarakat.

Dari segi hubungan antarabangsa Jawi juga berguna bukan sahaja sebagai bahan surat-menyurat antara para pemerintah. Ia juga membolehkan kita membaca dan menyembunyikan bahasa yang menggunakan skrip yang sama seperti bahasa Urdhu, Parsi, Afghan (Pashtu) dan Arab walaupun mungkin bahasanya tidak difahami. Kemungkinannya membantu pelajaran bahasa tersebut juga diperlukan.

Pada umumnya tulisan skrip Jawi sama ada Jawi Melayu atau skrip Arab adalah sangat penting kepada identiti orang Melayu kerana ia melibatkan banyak bidang seperti agama, sejarah dan jati diri bangsa dengan itu perlu dipelihara dan dipupuk dikalangan masyarakat khususnya oleh rakyat Malaysia.